Tuesday, February 16, 2010

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur merupakan salah satu hab penerbangan yang terpenting di rantau Asia Tenggara selain Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok, Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong dan Lapangan Terbang Changi Singapura. Lapangan terbang ini merupakan lapangan terbang utama di Malaysia dan merupakan yang terbesar di negara ini. Ia terletak di daerah Sepang, Selangor dan hampir 50 kilometer jaraknya dari ibu negara, Kuala Lumpur. Dibina dengan kos mencecah AS$ 3.5 bilion, KLIA akhirnya dibuka secara rasmi pada 27 Jun 1998. Lapangan terbang ini boleh menampung sebanyak 35 juta penumpang setahun dan 1.2 juta tan metrik kargo dalam fasa pembinaannya sekarang. Lapangan terbang ini telah menduduki tempat yang ke-13 di dunia dari segi bilangan penumpang asing di mana sebanyak 24,129,748 penumpang telah menggunakan lapangan terbang ini pada tahun 2006. Pada tahun yang sama, lapangan terbang ini juga telah mengendalikan 677,446 tan metrik kargo untuk menduduki tempat ke-30 di dunia dari segi pengendalian kargo.

Lapangan terbang ini diuruskan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan merupakan hab utama bagi Malaysia Airlines, MASkargo, AirAsia dan AirAsia X. KLIA juga merupakan perhentian untuk "Laluan Kanggaru" bagi Malaysia Airlines. Slogan lapangan terbang ini ialah "Membawa Dunia Ke Malaysia Dan Malaysia Ke Dunia" (Bringing the World to Malaysia and Malaysia to the World).

Kod IATA untuk lapangan terbang ini, KUL sebenarnya diambil daripada lapangan terbang utama Malaysia yang terdahulu, Lapangan Terbang Subang.

Lapangan terbang ini berkonsepkan "lapangan terbang dalam hutan dan hutan dalam lapangan terbang". Keadaan ini dapat memberi ketenangan kepada penumpang dan memperkenalkan suasana hutan Malaysia kepada pelancong luar negara.

KLIA mempunyai satu Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) yang mula beroperasi pada 26 Mac 2006 bagi menampung penumpang yang menaiki AirAsia dan juga penerbangan tambang rendah yang lain.

Pelan pembinaan KLIA bermula pada tahun 1990 apabila kerajaan sedar bahawa lapangan terbang utama pada waktu itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Subang (kini Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah) tidak akan mampu menampung permintaan apabila bilangan penumpang meningkat di masa hadapan. Perdana Menteri Malaysia pada masa itu, Dato' Seri Mahathir bin Mohamad merupakan orang yang paling kuat menyokong pembinaan lapantan terbang ini yang akan menjadi komponen utama dalam Koridor Raya Multimedia.

Keputusan ini mencetuskan kontroversi. Lokasinya yang terletak kira-kira 50 kilometer dari Kuala Lumpur dilihat sebagai tidak menyenangkan di samping kos pembinaan yang meningkat melebihi takrifan awal. Para pengkritik juga mengatakan Subang masih boleh diperbesarkan diwalaupun kerajaan menyatakan sebaliknya. Dalam masa yang sama, kerja-kerja di Subang diteruskan semasa pembinaan KLIA. Terminal 3, terbaru di Subang dibuka pada Disember 1993 dan Terminal 2 telah diubahsuai pada 1995, hanya tiga tahun sebelum pembukaan KLIA.

Dengan tapak pembinaan seluas 100km2, tapak pembinaan KLIA merupakan antara yang terbesar di dunia. Ia dibina di atas tanah pertanian dan tidak memerlukan pengambilan tanah kepunyaan persendirian. Plan Master KLIA adalah termasuk pembinaan lima landasan terbang, dua terminal penumpang dan dua terminal satelit bagi setiap terminal dalam tiga fasa. Fasa Pertama pembinaan termasuk pembinaan satu terminal utama diikuti dengan satu terminal satelit yang mampu menampung sebanyak 25 juta penumpang setiap tahun dan dua landasan terbang yang berfungsi sepenuhnya. Dibawah perlaksanaan Fasa Pertama, sebanyak 60 pintu penerbangan, 20 tapak pesawat tanpa pintu dengan 80 tapak pesawat, 4 hangar penyelengaraan dan 4 stesen bomba akan dibina. Perlaksanaan Fasa Kedua dan Ketiga merupakan projek pembesaran lapangan terbang sedia ada untuk menampung bilangan penumpang yang akan meningkat. Akhirnya, lapangan terbang ini akan mampu menampung sebanyak 100 juta penumpang setiap tahun apabila keseluruhan projek telah siap.

Dengan tenaga 25,000 orang buruh bekerja 24 jam sehari, lapangan terbang ini telah siap dibina selama empat setengah tahun. Lapangan terbang ini dibuka secara rasmi pada 27 Jun 1998, seminggu lebih awal dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong tetapi semua penerbangan dipindahkan dari Subang tiga hari kemudiannya pada 30 Jun 1998. Penerbangan domestik yang pertama tiba di KLIA adalah Malaysia Airlines MH1263 dari Kuantan pada jam 7.10 pagi dan penerbangan antarabangsa pertama tiba di KLIA juga merupakan penerbangan Malaysia Airlines MH188 dari Maldives pada jam 7.30 pagi.

Pembukaan lapangan terbang ini diikuti pelbagai masalah. Sistem pembahagian tapak pesawat dan jeti penghubung terganggu, kesesakan berlaku dalam setiap bahagian lapangan terbang, dan pengurusan bagasi juga terganggu dengan penumpang yang kehilangan bagasi terpaksa menunggu hampir 5 jam untuk bagasi mereka. Kebanyakan masalah ini berjaya diselesaikan, namun sistem bagasi terus menghadapi masalah demi masalah dan kini ia diletakkan sebagai tender untuk mencari pengurusan baru pada 2007.

Lapangan terbang ini juga terpaksa menghadapi krisis kewangan Asia Timur, penyakit SARS dan wabak selsema burung yang memberi impak negatif terhadap trafik penumpang di Malaysia. Pertumbuhan trafik adalah negatif semasa krisis kewangan tersebut kerana kebanyakan syarikat penerbangan lain yang telah beroperasi di KLIA seperti All Nippon Airways, British Airways, Lufthansa, dan Northwest Airlines terpaksa menghentikan operasi setelah mengalami kerugian. Fasa Pertama lapangan terbang ini mensasarkan bilangan penumpang sebanyak 25 juta setahun tetapi pada tahun pertama operasi KLIA, bilangan penumpang hanya mencecah 13.2 juta penumpang. Walaubagaimana pun, trafik penumpang akhirnya meningkat kepada 21.1 juta penumpang pada tahun 2004 dan 23.2 juta penumpang pada tahun 2005 - walaupun masih tidak mencapai sasaran 25 juta penumpang bagi tahun 2003.

Pada tahun 2007, KLIA telah dianugerahkan sebagai lapangan terbang terbaik bagi kategori 15-25 juta penumpang dan tempat ketiga bagi lapangan terbang terbaik di Asia Pasifik dan Dunia. Anugerah ini disampaikan oleh Airports Council International Airport Service Quality (ACI-ASQ).

Nama Kuala Lumpur International Airport juga merupakan nama alternatif terdahulu bagi Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (SZB) di Subang.

No comments:

Post a Comment